Ezequiel Garay mendakwa langkahnya meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Benfica pada tahun 2011 merupakan keputusan terbaik dalam kerjayanya.

Garay dilihat mempunyai masa depan yang cerah bersama Real selepas berpindah dari Racing Santander pada tahun 2008, namun dia gagal menarik perhatian Jose Mourinho, lantas memilih untuk berhijrah ke Estadio da Luz.

Dia mula mengesahkan tempatnya selaku tonggak pertahanan Benfica sebelum berhijrah ke Zenit St. Peterseburg tiga tahun kemudian.

Pemain berusia 29 tahun itu, bagaimanapun, berhijrah ke Valencia pada awal musim ini dan pemain Argentina itu menekankan dia menempuh kerjaya gemilang sejak meninggalkan Santiago Bernabeu.

"Real Madrid sebuah pasukan yang dihormati," dia memberitahu El Desmarque. "Tetapi pada saya, meninggalkan kelab itu merupakan keputusan terbaik dalam kerjaya saya, kerana pemain bola sepak mahu kerap beraksi. Namun, ketika itu peluang itu tidak hadir.

"Saya tidak menyesal kerana tiga tahun bersama Benfica merupakan saat paling menakjubkan buat saya.

"Saya sangat gembira bermain di sana, apatah lagi kami berjaya beraksi di pentas final Liga Europa. Tiada siapa menjangkakan kejayaan itu."