Idrissa Gueye menolak untuk bercakap mengenai perpindahan keluar daripada Paris Saint-Germain (PSG) selepas menikmati musim pertama di Perancis.

Pemain tengah, Gueye, menyertai PSG daripada Everton pada musim lalu dan pantas mengesahkan status selaku tonggak utama gergasi Ligue 1 itu.

Namun, pemain Senegal itu dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Liga Perdana Inggeris menyertai Wolverhampton Wanderers.

Gueye tidak menghiraukan spekulasi itu serta laporan sebelum itu yang mengaitkannya dengan Chelsea, menegaskan segalanya baik di PSG.

"Saya sudah biasa dengan spekulasi sebegini. Setiap kali jendela perpindahan, ia berlaku terhadap saya," katanya.

"Malah, ketika Januari lalu selepas enam bulan tiba di PSG, saya telah dikaitkan dengan Chelsa. Jadi, saya sudah terbiasa.

"Segalanya bagus buat saya di sini. Saya sering berhubung dengan Pengarah Sukan PSG, Leonardo, dan tiada sebarang isu perpindahan. Dia tidak pernah bercakap dengan saya mengenai perpindahan atau melepaskan saya.

"Jadi, bagi saya ia hanya spekulasi dalam jendela perpindahan kerana tidak banyak perkara berlaku ketika ini."

Gueye dan PSG dinamakan selaku pemenang Ligue 1 selepas saingan musim ini ditamatkan ekoran wabak coronavirus tetapi mereka akan menyambung kempen untuk aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Kelab Perancis itu menyinar tatkala mereka mengetepikan Borussia Dortmund dalam pusingan 16 dan Gueye sedar kekurangan perlawanan akan memberikan sesuatu buat mereka.

"Apabila kami menyambung latihan, kami perlu sedia melakukan semula semua perkara dan berjuang walaupun memiliki kekurangan memandangkan liga lain disambung," tambahnya.

"Mereka akan memiliki lebih banyak kejohanan berbanding kami tetapi kami cuba untuk menjadikannya satu kelebihan.

"PSG boleh yakin bahawa kami turun lebih segar berbanding yang lain kerana mereka akan mengharungi lebih banyak perlawanan."