Penganalisis bola sepak, Asmawi Bakiri, menyifatkan pemain tengah negara, Safiq Rahim, sepatutnya lebih bijak mengawal emosi, apatah lagi dengan gelaran kapten pasukan dalam aksi penting untuk menghidupkan peluang dalam aksi kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, semalam.

Kesalahan Safiq adalah nyata dan jelas ketika dia melakukan terjahan sehingga dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini, pada minit ke-39.

Jelas Asmawi, kapten negara itu dilihat gagal mengawal emosinya sewaktu kehilangan bola dan mungkin itu yang membawa kepada tindak balas sedemikian terhadap pemain Hong Kong terbabit.

Sudah pasti, dengan gelaran kapten pasukan, Safiq seharusnya lebih peka untuk mengelak situasi sedemikian berlaku pada saat skuad itu memerlukannya dalam baki perlawanan.

“Sebagai ketua pasukan yang membimbing, paling lama, paling senior dalam pasukan, dia bukan sahaja memikul tanggungjawab ketua pasukan, dia juga mengatur semua pemain termasuk pemain simpanan.

"Mungkin sikap atau emosi untuk menang dan mendapat tekanan daripada Hong Kong menyebabkan dia membuat tindakan sedemikian,” kata Asmawi.

Seorang lagi bekas pemain negara, Nazzab Hidzan, pula menganggap tindakan Safiq itu jelas sengaja dilakukan dan bukan satu contoh yang baik selaku kapten kepada pemain lain.

“Memang bola itu 50-50, dan saya nampak jarak di antara bola dan kakinya agak jauh dan nampak dia bukan pergi ke arah bola tetapi kakinya menghala ke arah badan pemain lawan.

"Saya rasa elok dia memilih sukan lain seperti tomoi. Saya rasa kalau itu berlaku, dia akan mendapat pingat emas kerana tendangan itu tepat ke arah badan dan mendapat mata yang tinggi sebenarnya,” kata Nazzab.

Selain diangkat sebagai pakar sepakan percuma, Safiq turut memiliki rekod agak buruk menerusi aksi keras yang mengundang layangan kad merah.

Sepanjang tujuh tahun sejak 2010, Safiq mengutip tiga kad merah dalam perlawanan penting, iaitu Sukan Asia 2010, kelayakan Piala Dunia pada 2011 dan kelayakan Piala Asia, semalam.