Sergio Ramos fikir ia satu tindakan yang "gila" bagi Real Madrid untuk memecat Julen Lopetegui sungguhpun Los Blancos mengharungi tiga aksi tanpa kemenangan dalam empat perlawanan dengan kekalahan terbaru 0-1 kepada Deportivo Alaves, awal pagi tadi.

Madrid menempa kekecewaan yang bermula dengan kekalahan 0-3 di Sevilla pada 26 September lalu.

Mereka kemudian dipaksa seri 0-0 dengan musuh ketat, Atletico Madrid, di laman sendiri sebelum tewas 0-1 kepada CSKA Moscow dan Alaves dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan LaLiga, secara tidak langsung memberi tekanan terhadap pengendali berkenaan.

Lopetegui baru sahaja berkhidmat sejak Julai lalu untuk menggantikan Zinedine Zidane dan selepas melalui tempoh bulan madu, beliau kini perlu mula melakar keputusan memberangsangkan.

Walaupun tiga pasukan boleh memintas kedudukan mereka dalam LaLiga hari ini, Madrid masih kekal di puncak buat sementara waktu dan Ramos berpendapat langkah memecat Lopetegui adalah tindakan yang membingungkan.

"Orang lain menerima keputusan seperti itu tetapi ia tidak baik apabila ia membabitkan perubahan dalam kejurulatihan, ia akan menjadi gila," kata Ramos kepada pemberita di Vitoria.

"Kami perlu teruskan perjuangan kerana musim ini sangat panjang dan ada banyak masa lagi untuk bangkit. Sesiapa saja yang mengatakan Real Madrid sudah mati selalu terbukti salah dalam jangka panjang.

"Kami (pemain) adalah orang pertama yang perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki kempen kami dan cuba melakukan sesuatu. Tidak adil untuk menuduh sesiapa, kami semua berpijak di bumi nyata.

"Keputusan adalah apa yang sering dibicarakan oleh orang ramai, terutama apabila anda kalah tetapi kami kekal komited, kami masih bercita-cita tinggi dan kami masih mahu menang, ia ada dalam DNA kami."

Aksi membabitkan Madrid seterusnya adalah berdepan Levante di tempat sendiri selepas rehat antarabangsa.