CHELSEA 4 MORECAMBE

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berharap keyakinan Kai Havertz dan Timo Werner melonjak selepas masing-masing menemui sentuhan pemusnah dalam kemenangan ke atas Morecambe.


Werner mengakhiri kemarau gol selama 827 minit yang menyaksikan tuan rumah melepasi pusingan kedua Piala FA menerusi kemenangan 4-0 di Stamford Bridge malam tadi selepas Mason Mount terlebih dahulu membuka tirai jaringan.

Havertz menjadi arkitek untuk jaringan rakan senegaranya di Jerman tersebut menuju waktu rehat dan selepas itu gilirannya pula menggegar gawang lawan dengan menanduk masuk hantaran silang Cesar Azpilicueta pada minit ke-85.

Lampard percaya duo itu, yang sering menjadi sebahagian daripada pasukan utamanya sejak dipancing daripada Bundesliga, telah membuat "langkah kecil" untuk mereka terus menyesuaikan diri dengan kehidupan di Chelsea.




Bercakap mengenai Werner, yang ketumpulan penyudah sejak kemenangan 4-1 ke atas Sheffield United pada 7 November lalu, bekas ketua pasukan The Blues itu berkata: "Saya gembira baginya.

"Penyerang sentiasa dahagakan gol dan dia kerap melepaskan peluang sebelum ini. Dia sudah berada dalam posisi untuk menjaringkan gol cuma gagal menyempurnakannya.

"Saya gembira dapat menurunkannya hari ini selain cuba memulihkan keyakinan untuk menjaringkan gol. Ia bukan mudah, lawan langsung tidak memberikan ruang memandangkan mereka bertahan jauh ke dalam, namun dia masih mampu mencetak jaringan.

"Adalah penting bagi kita semua menyedari bahawa Timo dan Kai merupakan pemain muda yang baru berhijrah ke liga ini. Adalah normal mereka bergelut untuk menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) -- sebilangan pemain handalan yang pernah memperagakan aksi di sini juga pada awalnya menghadapi situasi seumpama itu.

"Ini adalah satu langkah kecil yang bagus buat mereka berdua."

Setiap musim The Blues lolos daripada pusingan ketiga kecuali 1997-98 apabila mereka disingkirkan Manchester United.