Menjadi antara pemain berpengalaman menyertai Terengganu City FC (TCFC), Hasmizan Kamarodin, mengakui masih perlu bekerja keras merebut tempat kesebelasan utama dalam saingan Liga FAM.

Bekas pertahanan Kelantan dan Terengganu, Hasmizan, 33, berkata dia sentiasa memberikan komitmen kepada mana-mana jurulatihnya, malah bersedia memimpin pemain-pemain muda TCFC.

Selain itu, gabungan pemain baru dan lama juga diyakini mampu membentuk barisan mantap di bawah kendalian Roshaidi Wahab, seterusnya mencapai sasaran ke Liga Perdana pada 2019.

“Kehadiran beberapa rakan lama juga boleh membantu kami mendapatkan keserasian dengan cepat dan saya yakin dengan pemain yang ada, TCFC boleh melangkah jauh,” ujarnya.

Turut menyertai TCFC untuk musim akan datang ialah pemain tengah, Reeshafiq Alwi, yang mengakui tidak percaya diberikan peluang menyarung jersi The Sharks.

Pemain berusia 35 tahun itu adalah antara watak penting Terengganu menjulang Piala FA pada 2011 dan berharap dapat mengulangi kejayaan sama bersama TCFC.

“Saya mahu membalas kepercayaan yang diberikan dengan menjulang Piala FAM pula selepas ini,” kata Reeshafiq.

Berkongsi misi yang sama ialah Hariri Mohd Safii sambil menepis tanggapan beraksi dalam Liga FAM ialah langkah ke belakang bagi pemain bola sepak di Malaysia.

Beraksi bersama Negeri Sembilan pada kempen lalu, Hariri, 28, menyahut cabaran memikul peranan penting di bahagian pertahanan TCFC.

“Ramai pemain berkualiti di dalam pasukan dan kami meletakkan sasaran muncul juara Piala FAM pada 2018,” tambahnya.