Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak menolak bakal memberi laluan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan siasatan berhubung kos RM85 juta untuk membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Itu antara yang dibincangkan Syed Saddiq dalam sesi 'townhall' Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) semalam berhubung program AMD yang tidak mencerminkan pusat latihan terbaik.

Jelasnya, isu itu tidak boleh dipandang sepi dan bakal disiasat dengan mendalam selepas terdapat banyak aduan mengenai kemudahan asas yang tidak lengkap sungguhpun diberi peruntukan besar.

Beliau tidak menolak campur tangan SPRM diperlukan untuk melakukan siasatan selain penambahbaikan segera buat semua pelatih di AMD.

Peralatan asas belum mencukupi lagi.

"(Malam) tadi, semua boleh mendengar perkara itu dibangkitkan di sebalik kita membincangkan isu-isu besar.

"Kononnya jika kita mahu menjadi seperti kelab Bayern Munich, kita perlu melabur sebanyak ini, tetapi pada masa sama, peralatan seperti bola pun tidak mencukupi.

"Kita perlu selesaikan masalah seperti ini kerana jika kita campak sebanyak mana pun duit (untuk program ini), kita tidak akan pergi jauh," ujarnya.

Dalam masa sama, Syed Saddiq tetap menegaskan sesi 'townhall' yang diadakan tidak akan membawa kepada sebarang keputusan segera, termasuk isu gaji bekas pengendali skuad B-16 negara, Lim Teong Kim, sehinggalah mesyuarat jawatankuasa khas pada 15 Oktober ini selesai.

"Seperti saya sudah tekankan, sebarang keputusan akan dibuat melalui mesyuarat jawatankuasa khas kerana saya mahu memastikan suara semua pihak dapat diwakili untuk kita menginstitusikan program ini.

"Suara ibu-bapa dan penyokong bola sepak itu sendiri perlu didengari agar keputusan ini dapat dibuat secara bersama-sama," katanya.