Thomas Tuchel berkata adalah tidak mustahil untuk Neymar kembali diturunkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan Ligue 1 menentang Lille hujung minggu ini.

Bintang Brazil itu, yang menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam tujuh penampilan Ligue 1 musim ini, diusung keluar pada lewat permainan ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Lyon hujung minggu lalu.

Laporan awal mendapati Neymar, yang dilihat menangis ketika diusung keluar, mengalami patah pergelangan kaki gara-gara terjahan keras yang turut menyaksikan Thiago Mendes dilayangkan kad merah selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu kemudian mengesahkan bahawa hasil imbasan mendapati kecederaan itu "tidak membimbangkan" dan satu lagi ujian akan dijalankan dalam masa terdekat.

Ketika Neymar tidak cukup cergas untuk menghadapi Lorient malam esok, Tuchel berharap agar penyerang itu sempat pulih sebelum waktu rehat pertengahan musim ini, yang akan bermula selepas pasukannya menentang Strasbourg pada 23 Disember ini.

"Saya hanya boleh katakan bahawa tidak mustahil untuk dia kembali beraksi (sebelum waktu rehat pertengahan musim)," kata Tuchel dalam sidang media.

"Kami akan mencuba segala yang kami mampu untuk perlawanan menentang Lille tetapi kami perlu menunggu keputusan ujiannya esok. Kemudian kami memberikan lebih penjelasan terperinci," katanya.

Tuchel turut memberikan perkembangan terkini mengenai tahap kecergasan Kylian Mbappe, yang disifatkannya berada dalam 'zon merah' ketika hanya beraksi selama 25 minit dalam perlawanan hujung minggu lalu.

Ketika Tuchel tidak pasti Mbappe dapat beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan PSG selepas ini, dia yakin pendahulu senarai penjaring terbanyak Ligue 1 itu akan cukup cergas untuk menghadapi Lorient.

"Saya tidak tahu sama ada dia dapat beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan itu atau tidak. Kami akan melihat bagaimana ototnya memberikan respons.

"Tetapi dalam sesi latihan terbaru kami, saya rasa dia boleh memulakan perlawanan esok, namun kami memerima banyak kejutan dalam sesi latihan terakhir musim ini, jadi saya perlu berhati-hati," tambahnya.

Kekalahan kepada Lyon merupakan kekalahan keenam PSG dalam kesemua kejohanan musim ini -- rekod terburuk mereka di peringkat itu sejak musim 2009-10.

Mereka akan turun berdepan berdepan Lorient selaku pasukan di tangga ketiga liga dengan hanya kekurangan satu mata di belakang Lille dan Lyon manakala Marseille pula kekurangan satu mata di belakang dengan kelebihan dua perlawanan dalam tangan.