Tidak mengaku bukan cara lelaki sejati -- Balotelli

Oleh Staff Writer 4 November 2019 3554
Tidak mengaku bukan cara lelaki sejati -- Balotelli
HELLAS VERONA 2 BRESCIA 1

Penyerang Brescia, Mario Balotelli, menyifatkan mereka yang tidak mengaku bahawa dia telah menjadi mangsa ejekan perkauman ketika pasukannya menentang Hellas Verona dalam Serie A awal pagi tadi sebagai bukan lelaki sejati.


Balotelli, dalam keadaan penuh marah, menyepak bola ke arah penyokong Verona pada permulaan babak kedua di Stadium Marc'Antonio Bentegodi itu selepas mendengar ejekan perkauman sebelum mengugut untuk meninggalkan padang.

Pengadil menghentikan seketika perlawanan itu sebelum satu pengumuman dibacakan kepada penyokong sebagai usaha untuk menyelesaikan perkara itu.

Ballotelli dipujuk oleh rakan sepasukannya dan pemain Verona untuk kekal beraksi sebelum bekas pemain Inter Milan dan Manchester City itu meneruskan perlawanan untuk menghasilkan jaringan gemilang biarpun pasukannya tewas 1-2.

Selepas perlawanan itu, pengurus Verona, Ivan Juric, dan presiden kelab itu, Maurizio Setti, mendakwa mereka tidak mendengar sebarang bentuk ejekan perkauman ke atas Balotelli, dengan Setti turut berkata: "Saya tidak takut untuk memperkatakan bahawa tiada apa-apa yang berlaku dan tiada ejekan perkauman."

Di samping satu kiriman video yang memaparkan ejekan yang diterima dan jaringan cantiknya, Balotelli berkata dalam Instagram: "Terima kasih buat rakan sepasukan di dalam dan di luar padang kerana solidariti yang ditunjukkan kepada saya dan kesemua mesej yang saya terima daripada peminat.

"Saya berterima kasih dengan setulus hati.

"Anda telah menujukkan cara lelaki sejati dan bukannya seperti mereka yang menafikan segala bukti," katanya.

Balotelli turut memuat naik semula satu video kiriman peminat dengan kapsyen: "Kepada sesiapa yang membuat ejekan dengan bunyi monyet, anda memalukan, anda memalukan.

"Anda memalukan di depan anak, isteri, orang tua, saudara-mara, sahabat dan kenalan anda....memalukan."

Kekalahan itu mengakibatkan Brescia kembali ke zon penyingkiran dan pengurusnya, Eugenio Corini, dipecat. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen