Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata tindakan menyambung saingan bola sepak terlalu awal merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Sukan seluruh dunia terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19 selepas ia meragut lebih 95,500 nyawa.

Bundesliga mungkin bersambung bulan depan tatkala kebanyakan liga mula mempersiapkan diri untuk meneruskan baki saingan tetapi Infantino memberi amaran bahawa bahaya jika ia diadakan terlalu awal.

"Mengikut keutamaan, prinsip yang kami usahakan, kesihatan adalah aspek paling penting," kataya.

"Seperti yang saya tekankan, ia masih belum cukup. Tidak berbaloi untuk menanggung risiko dalam mana-mana kejohanan atau liga. Semua orang harus peka dengan perkara ini.

"Tidak bertanggungjawab sekiranya menyambung saingan ketika situasi masih belum selamat 100 peratus. Anda perlu menunggu sedikit masa lagi. Lebih baik menunggu daripada menanggung risiko."

FIFA dikatakan memiliki tunai berjumlah USD2.7 bilion (RM11.6 bilion) yang sedia untuk digunakan waktu kecemasan dan Infantino berkata badan itu sedang cuba untuk membantu.

"Terima kasih kepada usaha yang dilakukan bersama-sama dalam FIFA dalam empat tahun terakhir sehingga meraih kedudukan kewangan yang kukuh. FIFA memiliki reputasi baik dalam pasaran kewangan," tambahnya.

"Tatkala bola sepak dihentikan di seluruh dunia, kami berdepan isu ekonomi di semua peringkat, tidak kira kelompok asas atau profesional. Jadi, kami bersedia untuk bekerjasama bagi meneliti kesan kewangan bagi mendapatkan hasil terbaik."