Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, percaya tidak akan wujud lagi seorang pemain bola sepak sepertinya meskipun mengakui ada beberapa bakat muda yang semakin meningkat naik.

Pemain berusia 31 tahun itu dianggap sebagai pemain terbaik dunia, namun dia berpendapat tidak akan ada pemain yang memiliki karektor sepertinya selepas ini.

"Tiada sesiapa mampu menjadi Cristiano Ronaldo yang seterusnya," Ronaldo memberitahu Marca.

"Tidak wujud pelanduk dua serupa dalam bola sepak. Sesiapa yang hadir selepas ini hanya akan menjadi dirinya.

"Saya dapat melihat banyak bakat muda di Eropah yang semakin meningkat naik seperti Renato Sanches, Andres Gomes dan Joao Mario. Saya hanya menyebut pemain dari Portugal tetapi masih ramai pemain muda yang mampu pergi jauh.

"Saya gembira kerana adanya pemain seperti ini memastikan sukan bola sepak mempunyai platform yang kukuh."

Ronaldo dilihat sebagai pilihan utama untuk menggondol anugerah Ballon d'Or tahun ini selepas menikmati musim menakjubkan -- menjuarai Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid dan Euro 2016 bersama Portugal -- namun dia menegaskan bahawa dia tidak terbawa-bawa dengan anugerah berprestij itu.

"Undian tidak bergantung kepada saya, jadi saya tidak boleh terlalu obses dengan persoalan sama ada saya akan menang atau tidak.

"Jika kamu bertanya sama ada saya mahu menang, sudah tentu saya mahu. Saya tidak akan menipu tetapi keputusan tidak terletak di tangan saya.

"Saya tenang kerana saya menempuh musim menakjubkan tahun lalu, jadi saya sangat selesa."