Pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) akan turun tanpa tekanan menjelang perlawanan akhir pertama Piala FAM menentang MISC-MIFA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Menurut Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, skuad mudanya kini berada di status tersendiri setelah mencipta pelbagai kejutan dalam kejohanan ini.

"Tiada tekanan. Ini penyertaan pertama PKNP FC dalam kejohanan ini dan berjaya ke final.

"Cuma, jika muncul juara, ia bonus bagi kami. Apa-apa pun, kami telah bersedia dari segi mental dan taktikal permainan."

Sementara itu, Penaung PKNP FC, Datuk Aminuddin Md Desa, mahu piala FAM kembali ke pangkuan negeri Perak.

"Alang-alang kalau sudah melangkah ke pentas akhir biarlah juara. Lagipun, 51 tahun Perak menunggu untuk bawa pulang piala ini."

Kali terakhir Piala FAM dimenangi ialah pada tahun 1965 setelah Perak FA menundukkan Singapura FA 3-2.