Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menegaskan tiada slot istimewa untuk pemain warisan mendapatkan tempat automatik dalam skuad kebangsaan biarpun beraksi baik dalam saingan liga di luar negara.

Ketua jurulatih itu menekankan pemain kacukan akan disaring jawatankuasa program naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum mereka disahkan menyarung jersi kebangsaan.

"Kemungkinan sesetengah pemain kami nilai menerusi fizikal yang dimiliki tetapi disebabkan liga yang tidak kompetitif, saya raa ia juga menjadi faktor utama. Jadi, saya rasa kami perlu mengenali pemain daripada setiap sudut. Kami tidak boleh terus pilih untuk mewakili skuad kebangsaan," katanya.

"Kami perlu ambil beberapa proses pemilihan dan perbincangan untuk memastikan mereka betul-betul layak untuk skuad negara."

Buat bekas kapten kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar, dia tetap positif dengan pendekatan FAM seandainya satu hari nanti keseluruhan kesebelasan utama negara dibarisi pemain kacukan.

Bukan menyisihkan pemain tempatan, sebaliknya dia memandang jauh jika ia mampu untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.

"Kami tidak boleh menafikan jika ada keperluan untuk mengambil pemain naturalisasi dari luar. Ia perlu difikirkan secara positif untuk skuad negara bagi bersaing dalam kejohanan lebih besar," kata bekas kapten kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar.

Namun, untuk pemain sedia ada seperti Zaquan Adha Abdul Radzak, dia tetap mahu FAM tidak sembarangan mengambil pemain luar membarisi skuad negara dengan hanya berbekalkan status pemain kacukan sambil rakan sepasukannya, Brendan Gan, mahu nama yang dipilih benar-benar bersedia berkorban demi Harimau Malaya.

"Kadangkala perspektif orang ramai hanya berpendapat pemain kacukan semestinya berkualiti. Bagi saya, tidak semua. Apabila terlalu ramai tanpa melihat kualiti yang ada, secara tidak langsung pemain tempatan telah disisihkan," kata Zaquan Adha.

"Persoalannya, adakah mereka datang untuk menyerahkan segala kudrat buat negara atau hanya mahu mendapatkan wang. Terdapat ramai pemain yang memiliki darah campuran dan saya fikir, jika mereka cukup bagus dan sedia berjuang, mengapa tidak," tambah Brendan.