Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan PDRM terlepas daripada pemotongan enam mata, bekas penolong jurulatih PDRM, Wan Mustaffa Wan Ismail, tampil menjelaskan tiada persetujuan hitam putih antara mereka.

Menurut Wan Mustaffa, PDRM masih belum mencapai persetujuan bersama dua lagi jurulatih, iaitu bekas ketua jurulatih dan jurulatih kecergasan.

Tambahnya, sebelum ini PDRM pernah menghubunginya namun tiada sebarang butiran rasmi untuk melunaskan tunggakan gaji selain tiga jurulatih itu mahu menuntut pembayaran penuh.

Kini, kemelut yang membabitkan Wan Mustaffa bersama dua lagi jurulatih akan dibawa ke Jawatankuasa Status FAM Selasa ini.

Semalam FAM mengumumkan The Cops sah terlepas daripada hukuman pemotongan enam mata tambahan Liga Super 2020.

"Buat masa ini, masih lagi tiada hitam putih dalam usaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji," kata Wan Mustaffa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional (PFAM), Izham Ismail, mengesahkan bahawa pemain yang diwakili oleh badan induk itu telah mencapai persetujuan bersama dalam kemelut ini.

"Persetujuan di antara pemain telah dicapai. Pembayaran berperingkat akan dilakukan sebanyak tiga kali," kata Izham.