Tiada Messi, Suarez bukan alasan Barca gagal raih tiga mata

Oleh Joe Wright 20 November 2016 1
Tiada Messi, Suarez bukan alasan Barca gagal raih tiga mata

Sergio Busquets berkata ketiadaan Lionel Messi dan Luis Suarez tidak boleh dijadikan punca Barcelona gagal meraih kemenangan ke atas Malaga yang beraksi dengan sembilan pemain dalam aksi LaLiga yang berkesudahan 0-0.

Juara bertahan itu terpukau dengan aksi cemerlang penjaga gol pasukan pelawat, Carlos Kameni, sekaligus memberikan peluang buat Real Madrid untuk mendahului liga dengan perbezaan empat mata.

Jentera serangan Barca kelihatan tumpul tanpa kehadiran Messi, yang menarik diri daripada menyertai pasukan sebelum perlawanan bermula dengan masalah kesihatan manakala Suarez digantung perlawanan.

Bagaimanapun, Busquets berasakan tuah tidak memihak pasukannya selepas kehilangan mata berharga di Nou Camp buat kali ketiga musim ini.

"Messi dan Suarez merupakan dua pemain terbaik kami tetapi ketiadaan mereka bukanlah alasan kami gagal meraih keputusan yang cemerlang. Kami telah mencuba sebanyak seribu kali dan kami masih gagal menjaringkan gol," jelas Busquets.

"Kami mahu mendapatkan tiga mata penuh. Mereka bertahan dengan baik dan menyukarkan kami untuk menghasilkan peluang.

Kameni mempamerkan aksi yang cemerlang selepas menidakkan percubaan Rafinha Alcantara dan Neymar, untuk memastikan satu mata buat Malaga.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu gembira kerana berjaya memastikan gawang Malaga tidak ditembusi oleh Barcelona di Nou Camp.

"Ia merupakan satu tugas yang sukar untuk mendapatkan keputusan ini di sini. Kami telah berjaya menghasilkan sesuatu yang menakjubkan."

Tentang Penulis

Joe Wright

Komen