Pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, menafikan dakwaan mempunyai hubungan yang tegang dengan pemain penyerang, Carlos Bacca, susulan pemain itu berang ketika ditukarkan selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Pescara.

Bacca adalah antara beberapa pemain yang beraksi hambar tatkala The Rossoneri yang pada awalnya dijangka menang mudah sebelum ditukarkan dengan Luiz Adriano pada minit ke-83.

Namun, pemain berusia 30 tahun itu dilihat enggan bersalaman dengan Montella sebelum meluru ke bangku simpanan.

"Saya tidak sedar akan insiden itu," Montella memberitahu Premium Sport HD.

"Saya pernah melihat tindakan lebih teruk daripada itu. Kami akan berbincang perkara ini secara bersemuka.

"Pada saya, ia bukan satu masalah. Saya perlu memuji Luiz Adriano atas sumbangannya.

"Bacca telah menjalankan tugasnya dengan baik. Dia bekerja keras di atas padang. Sudah tentu dia sepatutnya melunaskan beberapa peluang terhidang tetapi pada saya itu bukan satu masalah."

Gol Giacomo Bonaventura menerusi sepakan percuma pada babak kedua mengesahakn Milan kembali bangkit daripada kekecewaan tewas 3-0 kepada Genoa minggu lalu.

Bagaimanapun, Milan turut resah berdepan asakan Pescara.

Montella menegaskan mengutip tiga mata dengan kemenangan 1-0 ke atas Pescara umpama melakar kemenangan dengan keputusan sama ke atas Juventus.

"Pescara bermain dengan cukup baik. Tahniah kepada mereka tetapi saya mahu melihat pemain beraksi dengan lebih gembira berbanding hari ini.

"Kami sepatutnya mengesahkan kemenangan lebih awal. Tiga mata ini sangat berharga."