Lega Serie A telah mengubah peraturan untuk baki perlawanan Coppa Italia, di mana tiada masa tambahan untuk separuh akhir dan final.

Selepas tiga bulan saingan ditangguhkan ekoran wabak coronavirus, aksi bola sepak di Itali bersambung esok apabila Juventus berdepan AC Milan untuk aksi kedua separuh akhir selepas perlawanan pertama berkesudahan seri 1-1, Februari lalu.

Napoli akan melayan kunjungan Inter Milan dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Sabtu ini tatkala skuad kendalian Gennaro Gattuso itu memiliki kelebihan 1-0.

Aksi final akan diadakan pada Khamis depan, tiga hari sebelum saingan Serie A bersambung.

Untuk memastikan pemain tidak kepenatan selepas kembali beraksi dan mengelakkan risiko kecederaan, perlawanan Coppa Italia akan ditentukan menerusi sepakan penalti jika pemenang gagal diraih dalam tempoh 90 minit.

Namun, peraturan gol di tempat lawan dikekal.