Tiada lagi salah faham, Jovic kembali sarung jersi Serbia

Oleh Penulis Jemputan 31 Disember 2019 321
Tiada lagi salah faham, Jovic kembali sarung jersi Serbia
Luka Jovic bakal kembali bersama skuad Serbia bagi aksi play-off separuh akhir Euro 2020 berdepan Norway, Mac depan selepas isu "salah faham" sebelum ini diselesaikan, menurut Persatuan Bolasepak Serbia (FSS).

Penyerang Real Madrid itu telah dilepaskan daripada aksi antarabangsa September lalu kerana menyatakan dirinya mengalami kecederaan, namun terlibat dalam skuad Real bagi aksi LaLiga empat hari kemudian.

Ketua jurulatih Serbia, Ljubisa Tumbakovic, dilaporkan kecewa dengan sikap pemain itu dan sejak itu, Jovic tidak beraksi untuk skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, menjelang aksi penting berdepan Norway, 26 Mac depan, Pengarah Sukan FSS, Vladimir Matijasevic, serta Tumbakovic telah mengadakan pertemuan dengan Jovic untuk mendapatkan semula khidmat pemain itu.

"Matijasevic dan Tumbakovic telah bermesyuarat dengan penyerang kebangsaan Serbia itu sejak beberapa hari lalu. Selepas segalanya telah dijelaskan, penyerang Real itu akan kembali beraksi Mac ini," menurut FSS menerusi laman Twitter.

"Kedua-dua pihak telah meluahkan apa yang perlu dikatakan, segala salah faham telah diselesaikan. Perkara paling penting adalah demi kepentingan pasukan.

"Kelayakan ke Euro adalah sasaran utama."

Jovic menjaringkan gol kemenangan dalam saingan kelayakan keitka berdepan Lithuania, Jun lalu tetapi sekadar meledak dua gol dalam saingan LaLiga sejak berhijrah menyertai Real bagi musim 2019-20.



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen