Masih belum ada kata putus berhubung gaji bekas ketua jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim, walaupun satu pertemuan sudah pun diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Syed Saddiq mengesahkan satu perjumpaan tertutup sudah pun diadakan bersama Teong Kim di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini bagi membincangkan masalah dihadapi dan jalan penyelesaian terbaik berkenaan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), termasuk penilaian semula gaji RM175,000 sebulan yang diterima Teong Kim.

Pertemuan kali pertama itu yang hanya melibatkan Syed Saddiq dan Teong Kim berlangsung selama lebih satu jam.

Namun, Syed Saddiq memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perbincangan berhubung gaji berkenaan dengan mengharapkan kesabaran semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kami perlu tunggu terlebih dahulu. Kami akan cuba mengumpul semua maklumat sebelum membuat keputusan muktamad," katanya.

Syed Saddiq terlebih dahulu mengadakan dengan jurulatih dan pihak pengurusan NFDP seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, sebelum bersama peminat sukan dalam satu sesi "townhall" yang diadakan pada hari sama.

"Kami mengadakan perjumpaan dengan lebih 170 jurulatih NFDP dari beberapa negeri dan fokus utama adalah memahami dan melihat masa depan program ini."