Pengendali Real Madrid, Santiago Solari, tidak melihat sebarang nama yang terjamin dalam kesebelasan utama pasukannya selepas menerima kritikan tidak menggunakan khidmat bintang tengah, Isco.

Pemain Sepanyol itu masih belum beraksi dalam kesebelasan utama buat Madrid sejak Solari menggantikan pengurus yang dipecat, Julen Lopetegui, susulan kekalahan 5-1 di tangan Barcelona, hujung Oktober lalu.

Isco hanya digunakan selaku pemain gantian tetapi pemerhati bola sepak serta peminat Los Blancos dilihat tidak bersetuju dengan layanan yang diterima perancang tengah itu.

Solari ditanya mengenai Isco ketika sidang media tetapi pengendali dari Argentina itu menjelaskan dia berpuas hati dengan bekas tonggak Malaga itu.

"Terdapat 24 orang pemain dalam skuad dan ditambah dengan nama daripada akademi," kata Solari.

"Kami mahu melihat beberapa pemain muda berada di atas padang.

"Saya rasa sebelum ini saya telah menerangkan kepada anda. Saya tidak percaya kepada mana-mana pemain yang dijamin tempat, tidak kira ketika ini atau sewaktu saya bergelar pemain.

"Tugas anda adalah untuk membincangkan siapa yang akan bermain dan begitu juga jurulatih. Semua perkara boleh dibincangkan, apa yang patut dilakukan untuk mendapatkan aksi terbaik ketika beraksi.

"Kemudian, wujud istilah kecederaan atau isu kecergasan. Tugas jurulatih adalah melakukan percaturan tepat dan tidak melakukan sebarang kesilapan."

Bagaimanapun, situasi yang dilalui Isco bukan disebabkan oleh sekeping gambar tular di media sosial yang menunjukkan pemain tengah itu tidak berada dalam keadaan yang sempurna.

Solari menegaskan dia tidak mengambil tahu tentang perkara sebegitu.

"Saya tidak melihat media sosial dan tidak tahu menyaksikan gambar Isco," tambah Solari.

"Jika anda meletakkan fokus kepada seorang pemain yang tidak beraksi, anda memiliki saya untuk ditanyakan tentangnya."