Tiada jaminan Coutinho akan terpilih berbanding Dembele -- Valverde

Oleh Staff Writer 28 November 2018 466
 Tiada jaminan Coutinho akan terpilih berbanding Dembele -- Valverde
Pengendali Barcelona, ​​Ernesto Valverde, mendakwa Philippe Coutinho tidak boleh menganggap dirinya sebagai pilihan utama ekoran kelibat Ousmane Dembele sempena aksi Liga Juara-Juara (UCL) dengan PSV, awal pagi esok. 

Kemenangan di Eindhoven akan menyaksikan Barca menduduki tempat teratas Kumpulan B untuk  memperoleh undian pusingan 16 bertemu naib juara kumpulan yang lain. 

Dembele muncul dari bangku simpanan untuk menyumbat gol penyamaan untuk skuad Catalans itu seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam aksi LaLiga pada hujung minggu lalu. 

Khidmat Coutinho kembali boleh ditagihkan selepas tercicir aksi berdepan Atletico selain kekalahan mengejut kepada Real Betis, dua minggu lalu. 

Valverde dalam sidang akhbar semalam memberitahu bahawa Dembele -- yang bergelut untuk memenuhi tanda harganya sejak tiba dari Borussia Dortmund dengan nilai €105 juta (RM497.3j) -- mungkin akan kehilangan tempatnya. 

"Kami akan lihat tentang itu," balas Valverde. "Ousmane telah bermain dengan kerap, jadi tiada sebab mengapa ini pasti berlaku.

"Kami harap gol ketika menentang Atletico dapat membantu Dembele. Jaringan melonjakkan keyakinan pemain dan saya mempunyai perasaan bahawa Dembele akan terus berusaha melakukan yang terbaik ketika diperlukan. 

"Dembele adalah pemain yang bermain secara teratur, baik dari bangku simpanan mahupun permulaan. Dia mempunyai kualiti tentang itu. 

"Apabila dia masuk dari bangku simpanan, dia boleh mengubah permainan dan itulah kualiti yang tidak diendahkan dalam bola sepak. Tidak semua orang mempunyai kualiti seperti itu."

Barcelona terpaksa berhadapan dengan senarai panjang kecederaan musim ini dengan Luis Suarez (lutut), Rafinha (lutut) dan Sergi Roberto (hamstring) antara pemain terbaru yang menuju ke bilik rawatan.

Oleh itu, Valverde menyalahkan tugasan antarabangsa sebagai punca mereka dilanda krisis kecederaan pada awal musim. 

"Bukannya kami tidak mahu pemain menyertai pasukan kebangsaan, namun ia adalah harga yang perlu kami bayar dan dalam kes ini, beberapa kecederaan berlaku serentak," tambahnya.

"Sepanjang musim ini, kami dilanda dalam pelbagai bentuk kecederaan seperti mana ketika kami mengharungi dua perlawanan terakhir UCL sebelum ini tanpa Lionel Messi.

"Dalam perlawanan sebelumnya, kami mengambil langkah berhati-hati dengan Coutinho tetapi kami fikir dia boleh bermain kali ini. 

"Kami juga akan memantau keadaan Ivan (Rakitic) tetapi kami optimis."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen