Tiada jaminan buat pemain pertama negara yang beraksi secara profesional di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak, untuk terus kekal dalam pasukan Fagiano Okayama walaupun sudah bersama kelab Liga J2 itu sejak Disember tahun lalu.

Hakikatnya, bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu gagal mendapat minit perlawanan dalam saingan Liga J2 dan sekadar beraksi dalam perlawanan persahabatan sepanjang berada di Jepun.

Meskipun Hadi Fayyadh kini semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pemain profesional di Jepun, saingan kompetitif dalam perebutan tempat dalam kesebelasan utama membataskan aksinya.

Perkara itu disahkan Pengarah Besar Fagiano, Tokyhiko Suzuki.

"Hadi dilihat dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan di Jepun apabila dapat bermain dengan baik dalam persekitaran yang sungguh mencabar, namun penentuan penyambungan kontrak hanya akan diputuskan selepas tamat liga musim ini," katanya.

Sementara itu, klinik bola sepak Fagiano bakal dianjurkan Disember ini melibatkan empat zon di Malaysia bagi mencungkil bakat muda yang boleh diketengahkan dalam merasai pengalaman menjalani latihan di sana.

"Kami akan mengadakan klinik bola sepak bagi mencungkil bakat pemain berumur 8-12 tahun. Siapa tahu mereka akan dipanggil bermain untuk pasukan di Jepun sama seperti Hadi satu hari nanti," katanya lagi.