Tiada halangan buat Chiesa sertai Juventus

Oleh Ammar Hakim 27 April 2020 89
Tiada halangan buat Chiesa sertai Juventus
Pemilik Fiorentina, Rocco Comisso, tidak akan menjadi penghalang buat Federico Chiesa daripada menyertai Juventus.

Juve merupakan antara kelab yang dilaporkan berminat dengan pemain skuad kebangsaan Itali itu, yang meledak enam gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 23 penampilan dalam saingan Serie A musim ini.

Terdapat kenangan pahit dalam kalangan penyokong Fiorentina ketika menyaksikan Roberto Baggio berhijrah menyertai Juve pada 1990, perpindahan yang mencetuskan rusuhan di jalanan Florence.

Commisso menjelaskan beliau tidak akan mengulangi kesilapan yang sama serta tidak akan menjual Chiesa walaupun dibida sebanyak EURO100 juta.

Bagaimanapun, beliau melembutkan pendiriannya mengenai masa depan salah satu prospek Fiorentina itu.

"Chiesa perlu membuat keputusan dan jika dia mahu berhijrah, saya tidak akan menghalangnya. Selagi nilainya berpatutan," kata Commisso.

"Berapa banyak klausa perpindahan Lautaro Martinez? EURO111 juta? Buang satu juta buat Chiesa... Saya melawak sahaja!

"Chiesa tahu apa nilai Fiorentina, siapa Rocco, dan dia memiliki masa depan di Florence.

"Jika dia mahu ke Juve, tidak ada veto untuk kelab-kelab tertentu. Namun, pada masa ini saya mempunyai hubungan yang baik dengan Federico dan ayahnya."

Chiesa, anak kepada bekas penyerang Itali, Enrico, telah membuat 139 penampilan bersama Fiorentina, merekodkan 29 gol.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen