Penghijrahan pemain ke mana-mana pasukan Liga Malaysia musim depan bakal memainkan peranan penting buat jurulatih skuad bawah-22 tahun negara, Frank Bernhardt, dalam menilai semula pemain untuk beraksi di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Bernhardt berkata tiada gunanya jika pemain berhijrah ke pasukan hebat tetapi sekadar mengisi bangku simpanan.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menjejaskan tahap prestasi pemain selain khuatir akan memberi kesan negatif terhadap aksi di pentas Sukan Sea.

"Pada saat mula bermain dalam Liga Super atau Liga Perdana tetapi mereka tidak sentiasa diturunkan atau jika mereka kerap bertukar dan mendapat masa lebih lama untuk beraksi, maka ia membantu.

"Tetapi jika mereka menukar kelab dan tidak diturunkan, ia menjadi masalah kepada kami. Kita perlu memikirkan cara untuk mengatasinya," katanya.

Tambah Bernhardt, pemilihan pemain ke pasukan kelab atau negeri musim depan perlu dilakukan dengan bijak agar aksi mereka kekal ditagih dalam kesebelasan utama pasukan bagi memudahkan misinya untuk membentuk skuad terbaik menjelang temasya dwi-tahunan itu.

Perlawanan berdepan Myanmar pada Disember depan berkemungkinan menjadi aksi persahabatan terakhir skuadnya pada 2016, sebelum pemain kembali bersedia untuk aksi Liga Malaysia tahun depan.

"Sepatutnya, kami ada perlawanan dalam kalendar FIFA, cuma kali ini kami berdepan masalah. Selepas ini, kami ada lagi perlawanan sebelum pemain kembali bersama kelab masing-masing, melakukan persiapan bersama kelab dan musim baru liga juga bakal bermula. Kami hanya ada perlawanan dalam kalendar FIFA pada Mac."

Skuad negara bakal menghadapi perlawanan persahabatan menentang Myanmar, 19 Disember nanti.