Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, menolak untuk menafikan perpindahan Zlatan Ibrahimovic selepas melihat pasukannya seri 1-1 dengan Lazio tetapi menegaskan fokusnya kini untuk meningkatkan persembahan pasukannya yang menduduki tangga kelima Serie A.

Milan berada di landasan terbaik untuk memenangi aksi keempat daripada lima perlawanan Serie A selepas Franck Kessie menyumbat gol pada minit ke-78 di Stadium Olimpico.

Namun, harapan Gattuso musnah apabila pemain gantian, Joaquin Correa, menyamakan kedudukan pada minit ke-94 untuk memberikan Lazio satu mata selepas mendominasi perlawanan tatkala Milan kehilangan beberapa pemain utama.

Skuad Rossoneri itu turun tanpa Giacomo Bonaventura dan Lucas Biglia sambil Mattia Caldara, Mateo Musacchio, Alessio Romagnoli and Ivan Strinic turut direhatkan.

Andrea Conti dan Gonzalo Higuain terlepas perlawanan akibat penggantungan dan Gattuso ditanya sama ada benar dia bakal membawa masuk penyerang LA Galaxy, Ibrahimvovic, ke San Siro.

"Lihat nanti tetapi saya rasa kami perlu fokus dengan apa yang dihadapi dan apa yang perlu dilakukan," katanya.

"Tiada gunanya berbincang soal itu sekarang. Saya hanya perlu memastikan pasukan bermain dengan baik."

Dalam masa sama, pengendali Milan itu memilih Francesco Acerbi sebagai pemain terbaik Lazio sambil berpendapat pemainnya terlalu tenang selepas meraih pendahuluan.

"Ia boleh berlaku apabila anda mendahului dalam waktu kecederaan dan hanya menunggu bola," tambah Gattuso.

"Perbezaan telah dihadirkan oleh Acerbi dan dia banyak memberikan masalah dengan fizikal yang dimiliki.

"Kini, kami memandang ke depan untuk memulihkan kecederaan. Saya tidak menjangkakan berita positif tetapi sejujurnya, kami akan memberikan ruang buat pemain yang belum beraksi."