Penggempur Atletico Madrid, Antoine Griezmann, diketepikan daripada kem pasukan kebangsaan untuk kembali ke Sepanyol selepas ditimpa kecederaan kaki dalam kemenangan 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia ke atas Sweden.

Jurulatih, Didier Deschamps, mengakui Griezmann -- penjaring terbanyak Euro 2016 -- sudah membina reputasi sebagai tonggak utama buat Perancis, namun beliau yakin ketiadaannya dalam perlawanan persahabatan dengan Ivory Coast akan membuka peluang kepada pemain lain untuk menyerlah.

"Tiada siapa yang tidak boleh diketepikan," ujar beliau dalam sidang akhbar.

"Antoine adalah pemain utama kami, dia telah membuktikannya betapa pentingnya dia untuk pasukan Perancis. Tapi, ketika ini dia tiada di sini.

"Saya tidak memanggil pemain lain untuk menggantikannya kerana ia tidak begitu masuk akal ketika perlawanan akan dilangsungkan dalam tempoh dua hari lagi. Saya sudah membuat rombakan. Saya yakin dengan 22 pemain yang sedia ada.

"Saya harap dia dapat kembali pada masa akan datang. Pasukan ini akan berbeza tanpanya.

"Namun, meskipun Antoine adalah tonggak dan nadi pasukan, terdapat pemain lain yang akan menggunakan kesempatan ini untuk membuktikan kemampuan mereka."

Kemenangan akan menyaksikan Perancis melakar sejarah baru dengan mencatatkan 14 kemenangan dalam kalendar tahun ini dan untuk itu, Raphael Varane percaya rekod tersebut akan menyerlahkan lagi pencapaian Les Bleus, tahun ini.

"Ia petunjuk bagi tahun yang baik buat pasukan," kata pemain Real Madrid itu. "Ia bukanlah matlamat tapi ia meningkatkan lagi pencapaian kami.

"Inilah yang kami mahukan, menamatkan kempen tahun ini dengan positif untuk meningkatkan pencapaian kami. Ia langsung bukan objektif sebenar kami."

Dalam masa yang sama, Varane teruja untuk beraksi di Stade Bollaert-Delelis, Lens, yang merupakan tempat dia mengasah bakatnya semasa remaja sebelum diberi peluang untuk beraksi dalam pasukan utama pada 2010.

"Saya tinggal di Lens dari usia sembilan sehingga 18 tahun.

"Saya sangat bangga dengan apa yang dicapai sehingga kini. Saya sangat gembira dapat kembali ke sini."