Pemain tengah skuad B-19 negara, K. Thivandaran, menyambut perayaan Deepavali di atas padang sebagai pengorbanan demi negara menjelang kempen kelayakan Kejohanan AFC di Korea Selatan dari 31 Oktober hingga 8 November ini.

Thivandran merupakan antara 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat B-19 negara bagi menghadapi pusingan kelayakan AFC dan sememangnya pemain dari skuad Piala Presiden Pulau Pinang itu berdepan persaingan sengit untuk merebut tempat ke senarai akhir 23 pemain.

Menyedari hakikat itu, dia yang berasal dari Kulim, Kedah mengambil keputusan untuk kekal berlatih pada hari Deepavali walaupun diberi cuti sehari oleh pengendali, Bojan Hodak.

Selain Thivandran, dua pemain lain yang turut meraikan Deepavali ialah T. Shaheeswaran dan A. Shivan Pillay.

“Sepatutnya hari ini saya cuti tetapi saya tidak mahu kerana saya masih baru dalam pasukan. Saya perlu berkorban untuk rebut tempat.

“Selalunya saya akan meraikan Deepavali di Kedah dengan keluarga tetapi tahun ini saya perlu meletakkan fokus kepada sesi latihan,” katanya.

Sementara itu, Hodak mengesahkan khidmat enam pemain yang berada dalam perancangannya untuk dibawa ke kem latihan terpaksa dibatalkan.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan tiga pemain Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kerana perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan depan.

“Saya akui kemungkinan hanya satu atau dua pemain yang akan dapat mengisi senarai akhir kerana perlu menghadapi SPM.

“Ada beberapa pemain yang bagus untuk menyertai skuad negara, jadi saya akan cuba mencari pengganti yang baik,” ujar Hodak.

Skuad pelapis negara bakal mengharungi dua lagi aksi persahabatan menentang Selangor hari ini dan Negeri Sembilan, beberapa hari kemudian.