Thiago Alcantara akan terlepas perlawanan "Klassiker" di antara Borussia Dortmund dan Bayern Munich awal pagi esok.

Ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick, mengesahkan pemain tengah itu tidak dapat diturunkan di Signal Iduna Park selepas terlepas sesi latihan semalam.

"Thiago tidak berlatih," kata Flick kepada wartawan.

"Malangnya, dia diketepikan daripada perlawanan ini.

"Rahsia mengenai kesebelasan akhir, saya mahu menyimpannya seorang diri," katanya.

Thiago diturunkan sebanyak 23 kali musim ini tetapi dikeluarkan ketika Bayern menewaskan Eintracht Frankfurt 5-2, Sabtu lalu gara-gara kecederaan kelangkang.

Dengan ketiadaannya, Flick berharap dapat menyaksikan aksi menarik dapat diteruskan oleh Leon Goretzka.

"Dia memenangi banyak bola ketika menentang Frankfurt dan dia amat agresif.

"Itu amat penting buat seorang pemain tengah bertahan.

"Dia meningkatkan perkembangan ototnya, yang memberikannya kelebihan dalam perlawanan. Leon berkembang dengan amat baik.

"Sebelum ini, dia lebih banyak menyerang sebagai pemain nombor 10 atau nombor 8.

"Tetapi sebagai pemain nombor 6, dia dapat menunjukkan kekuatannya dan berlari ke depan.

"Dia melihat situasi berbeza dengan Thiago. Saya gembira untuk memiliki lebih banyak pilihan di posisi itu," tambahnya.

Bayern akan turun dalam perlawanan itu dengan kelebihan empat mata di depan Dortmund selaku pendahulu liga dengan hanya tujuh perlawanan berbaki musim ini.

Mereka kini merekodkan lapan kemenangan berturut-turut dalam kesemua kejohanan selain menewaskan Dortmund 4-0 di Arena Allianz, November lalu.