Pemain tengah Bayern Munich, Thiago Alcantara, berada dalam kesakitan yang keterlaluan dan akan menjalani ujian terhadap kecederaan yang dialami ketika berdepan Rodinghausen, kata pengurus pasukan, Niko Kovac.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu dikeluarkan pada minit ke-75 dan digantikan oleh Sergne Gnabry ketika menewaskan Rodinghausen 2-1 bagi saingan Piala Jerman, awal pagi tadi.

Kovac mengesahkan Thiago bakal diperiksa oleh staf perubatan hari ini tatkala buku lalinya dilihat sebagai punca utama kepada kesakitan hasil kesalahan daripada Bjorn Schlottke.

"Dia berada dalam kesakitan melampau ketika ini tetapi kami akan tunggu dan lihat apa berlaku dalam pemeriksaan," ujar Kovac.

Gambar yang disiarkan oleh Bild menunjukkan Thiago meninggalkan stadium dengan tongkat selepas perlawanan.

Pengarah sukan kelab, Hasan Salihamidzic, memberitahu wartawan: "Kami tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya tetapi ia tidak nampak baik."

Dalam aksi pagi tadi, Bayern bertarung untuk meraih kemenangan sebelum berterima kasih kepada jaringan Sandro Wagner dan Thomas Muller walaupun Linus Meyer menyumbat gol buat lawan dalam babak kedua.

Mereka akan menyambung aksi Bundesliga berdepan Freiburg, Sabtu ini.