LIVERPOOL 7 SPARTAK MOSCOW 0

Jurgen Klopp memuji kejayaan Liverpool membelasah Spartak Moscow 7-0 awal pagi tadi sambil bersikap terbuka mengenai lawan yang bakal dihadapi dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara (UCL).


The Reds meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati dengan persembahan menakjubkan di Anfield apabila menjaringkan tiga gol pada awal 18 minit permainan dan menambah empat gol lagi selepas rehat.

Philippe Coutinho, yang menjawat peranan ketua pasukan daripada Jordan Henderson yang menjadi pemerhati di bangku simpanan, menyerlah menerusi hatrik sulungnya bersama kelab itu sementara Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah turut mencetak nama selaku penjaring.

Ia merupakan persembahan berbisa yang dijelmakan tuan rumah dan Klopp tidak berasa terancam dengan prospek diundi bertemu sama ada Bayern Munich, Real Madrid atau Juventus dalam majlis undian pada Isnin nanti.

"Saya tidak terlalu memikirkan soal lawan yang bakal kami dapat dalam undian nanti. Kebiasaannya, saya akan dapat berjumpa Real Madrid, jadi kita tengok sahajalah nanti," seloroh Klopp kepada BT Sport.

"Kami tidak mempunyai lawan pilihan, ia merupakan sesuatu yang sangat baik (untuk kembali ke peringkat kalah mati) selepas tempoh yang panjang. Saya suka berita seperti ini.

"Tiada siapa yang boleh membayangkan bahawa ia akan menjadi seperti ini pada malam ini. Kedua-dua pasukan mempertaruhkan segala-galanya.

"Spartak Moscow adalah pasukan yang bagus, saya tahu anda tidak akan fikir begitu sekarang tetapi mereka adalah lawan yang sukar dihadapi.

"Kami membuka permainan dengan sempurna dan selepas kami memimpin, kami tidak perlu mempertahankannya.

"Malam ini di Anfield, tidak ada apa-apa untuk dikeluhkan, semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, pengurus Spartak, Massimo Carrera, mengakui pasukannya -- yang berpeluang menamatkan saingan di atas Liverpool andai menang -- tidak bersedia menghadapi keputusan seperti ini.

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa kami sepatutnya menang tetapi prestasi kami menunjukkan bahawa kami tidak mempunyai kualiti. Ini membuktikan kami tidak berlatih untuk bersaing di tahap UCL," katanya.

"Ia adalah keputusan yang sukar untuk saya terima, saya tidak pernah meraih keputusan seperti ini, kami perlu menjadikannya sebagai pengajaran."