Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, sedang mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk Stadium Nasional Bukit Jalil digunakan sebagai gelanggang skuad The Red Giants musim depan.

Menurut Azman, FAS sudah membuat permohonan lisan untuk menggunakan stadium itu sebagai gelanggang mereka.

Ia susulan kegagalan persatuan itu mendapatkan Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang rasmi PKNS FC sejak awal tahun ini.

"Kami baru sahaja memulakan perbincangan, masih lagi mengkaji daripada segi kos, penggunaan dan tarikh perlawanan.

"Kami masih belum mendapat jadual daripada pihak FMLLP (Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia). Ia bagi melihat kalau ada pertembungan jadual dengan acara-acara lain yang berlangsung di stadium itu," katanya.

Tambah Azman, PSM sedang menunggu permohonan rasmi FAS untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Bagaimanapun, jika Selangor berjaya mendapatkan hak penggunaan stadium tersebut, ia boleh mengundang pandangan negatif pasukan lain kerana venue itu sinonim sebagai gelanggang keramat Harimau Malaya.

Malah, stadium itu bukan sahaja untuk pertandingan bola sepak tetapi turut dibuka untuk pelbagai aktiviti, termasuk konsert dan perhimpunan politik.

Stadium Nasional Bukit Jalil, yang menelan belanja RM800 juta, mula dibuka pada 1998 sempena penganjuran Sukan Komanwel pada tahun itu.