CHELSEA 1 ATLETICO MADRID 1

Chelsea berdepan kemungkinan akan menghadapi Barcelona atau Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), namun Antonio Conte menegaskan tidak ada lawan yang akan gembira bertemu pasukannya.


Chelsea hilang cengkaman di tempat teratas Kumpulan C selepas seri 1-1 dengan Atletico Madrid untuk membuka laluan kepada Roma melonjak hasil kemenangan 1-0 ke atas Qarabag, awal pagi tadi.

Anak buah Conte menyelamatkan satu mata di Stamford Bridge hasil gol sendiri Stefan Savic selepas jaringan pembukaan Saul Niguez untuk Atletico.

The Blues berdepan kemungkinan bertemu Barca, PSG dan gergasi Turki, Besiktas, namun Conte tidak terkesan dengan apa yang Chelsea hadapi di Eropah.

"Apabila anda melangkah ke pusingan seterusnya dalam pertandingan ini, anda mesti bersedia menghadapi pasukan terbaik," kata Conte.

"Kami boleh menentang Barcelona, ​​PSG atau Besiktas tetapi kami mesti bersedia. Ini adalah kejohanan terbaik, itulah sebabnya anda cuba menjadi protagonis dalam kejohanan ini.

"Pada masa yang sama, lawan kami tidak akan gembira dapat bermain menentang kami. Kita akan lihat apa yang berlaku.

"Saya masih ingat semasa Kejohanan Euro (2016) dengan pasukan kebangsaan Itali, kami menamatkan kumpulan di posisi pertama, kemudian kami berdepan Sepanyol. Selepas itu, jika kami mengalahkan Jerman, kami perlu menghadapi Perancis. Kadang-kadang ia tidak begitu penting (untuk berada di tangga pertama).

"Kami mara ke pusingan seterusnya dan kami mesti gembira dengannya. Selepas persembahan seperti ini, jurulatih pasti (gembira)," katanya.

Dalam pertembungan di London awal pagi tadi, Chelsea memungut 11 mata dengan Roma tetapi dibezakan dengan rekod pertemuan, dan Conte menambah: "Saya berasakan ia adalah persembahan yang bagus.

"Apabila anda mencipta banyak peluang, anda perlu cuba mengambil kesempatan. Jika tidak, penjaga gol adalah pemain terbaik buat lawan.

"Dalam keadaan lain, kami mungkin lebih tepat dalam penyudah kami. Pada masa yang sama, kami mengakui jaringan yang dilakukan membuktikan serangan kami perlu dipertingkatkan.

"Dari satu sudut... kami melakukan banyak kesilapan. Apabila anda bermain perlawanan penting seperti ini, perincian butiran mampu mencorakkan keputusan perlawanan.

"Mungkin kami ketinggalan 1-0 tetapi kami harus mencari kekuatan untuk bangkit menyamakan kedudukan dan cuba untuk menang. Atas sebab ini, kami mesti gembira dengan kempen peringkat kumpulan ini.

"Ia adalah kumpulan yang sangat sukar dan Atletico Madrid pada masa lalu tampil dengan hebat untuk beraksi dalam dua final UCL. Ini bermakna kumpulan kami sangat sukar," hujahnya.