Pemain kebangsaan Perancis, Florian Thauvin, akan terlepas aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Jerman ekoran kecederaan.

Pemain sayap itu telah kembali ke Marseille untuk menjalani rawatan terhadap kecederaan kaki kanannya selepas mengadu mengalami kesakitan ketika sesi latihan.

Ketua jurulatih, Didier Deschamps, menolak untuk mendapatkan pengganti pemain berusia 25 tahun itu.

"Selepas mencapai persetujuan dengan Deschamps dan pegawai perubatan, penyerang Marseille itu akan kembali ke kelab dan tidak akan digantikan oleh mana-mana pemain."

Thauvin mengharungi permulaan yang cemerlang dalam saingan Ligue 1 dengan meledak tujuh gol selepas sembilan perlawanan.

Dia turun beraksi selama 59 minit ketika Perancis seri 2-2 dengan Iceland, Khamis lalu.