Penyerang skuad B-23 tahun negara, N. Thanabalan, tidak mahu berasa mudah mendapatkan slot dalam senarai akhir 23 pemain dengan saingan muka baru yang dilabel memiliki kredibiliti untuk mencuri perhatian Datuk Ong Kim Swee.

Walaupun Thanabalan adalah antara watak utama yang memastikan skuad B-23 tahun layak beraksi dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun, itu bukan kriteria utama yang ingin dilihat oleh Kim Swee.

Dengan kehadiran nama-nama baru, Thanabalan menganggap ia sebagai amaran dan perlu berwaspada dengan mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan dia tersenarai untuk beraksi di China, Januari nanti.

Setiap latihan harian memberikan makna penting buat Thanabalan kerana dia masih ingin menyumbang keringat buat negara.

"Ramai pemain yang bersaing untuk mendapatkan posisi saya. Saya perlu mengelak daripada kecederaan tetapi perlu mempamerkan prestasi terbaik dalam sesi latihan," katanya.

Sementara itu, perkhabaran tidak dijangka apabila Negeri Sembilan bakal beraksi dalam Liga Super membuatkan Thanabalan teruja untuk bersaing dengan pasukan yang jauh memiliki kredibiliti terbaik musim depan.

"Ia merupakan rezeki bersaing dalam Liga Super. Negeri Sembilan akan memberikan yang terbaik beraksi dalam Liga Super," katanya lagi.