Selepas tamat saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pemain skuad bola sepak B-22 negara, N. Thanabalan, mahu memberikan sepenuh perhatian kepada saingan liga bola sepak tempatan dengan membawa pasukan kelabnya, Felcra FC, naik ke Liga Perdana musim depan.

Peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh Thanabalan bersama skuad B-22 negara ternyata memukau, bermula dengan kempen kelayakan Kejohanan AFC di Bangkok, sebelum meneruskan kecemerlangan itu di pentas Sukan SEA dengan empat gol keseluruhan.

Kini, penyerang yang berasal dari Negeri Sembilan itu berhasrat untuk menebus kembali kekecewaannya gagal meraih emas Sukan SEA dengan membantu kelabnya, Felcra FC, melayakkan diri ke saingan Liga Perdana musim depan.

"Saya ada satu lagi misi, membantu Felcra naik ke Liga Perdana," ujarnya.

Felcra akan bertemu Terengganu City FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FAM, 26 September depan dan Thanabalan yakin dia mampu membantu pasukannya.

Selain Thanabalan, seorang lagi pemain dari skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menabur bakti bersama Felcra adalah tonggak pertahanan serta kapten pasukan, Adib Zainnudin.

"Bagi saya, ia telah mengubah segala-galanya, nama saya tiba-tiba dikenali, bermula di Bangkok dan kemudian saya dapat terus menjaringkan gol dalam Sukan SEA.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana banyak membantu saya untuk setiap aksi di dalam padang."