Thanabalan enggan dibuai pujian

Oleh Penulis Jemputan 30 November 2017 1582
Thanabalan enggan dibuai pujian
Pemain sensasi skuad bawah 23 tahun negara, N. Thanabalan, enggan berasa selesa dengan kedudukan semasa, sebaliknya mahu menampilkan prestasi terbaik untuk berada dalam skuad akhir ke Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Pemain berusia 22 tahun itu menyinar ketika kempen kelayakan kejohanan itu di Bangkok pada Julai lalu dan tampil menyerlah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Dia meledak beberapa gol penting untuk pasukannya, sekali gus dilabel antara pemain harapan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, di China nanti.

Namun, Thanabalan bersikap waspada apabila menegaskan reputasi itu tidak memberi sebarang jaminan untuknya berada dalam skuad akhir ke kejohanan itu.

"Semua pemain perlu mengambil hati jurulatih dan kena rajin dalam latihan. Ia untuk diri kita juga. Dalam latihanlah, jurulatih melihat kita, sama ada kita memberi 100 peratus atau tidak," katanya.

Mampu beraksi sebagai penyerang dan pemain sayap, Thanabalan yang bakal beraksi bersama Negeri Sembilan dalam Liga Perdana musim depan, pastinya akan diberi saingan sengit, terutama muka baru daripada skuad B-19 negara.

"Pemain lama tidak boleh leka sebab mereka (pemain muda) pun mahu mendapatkan tempat dalam pasukan. Jadi, kami perlu berjuang untuk mengekalkan kedudukan," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen