Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman, tampak enggan meneruskan karier di tanah air apabila memilih berkelana ke Thailand musim depan dengan kemungkinan menyertai kelab liga utama negara itu, Bangkok United.

Itu merupakan antara perkembangan terbaru mengenai Zafuan Azeman yang juga pemain muda skuad Perlis meskipun sedang berlatih bersama skuad bawah 19 tahun negara untuk menghadapi aksi kelayakan Kejohanan AFC Bawah 19 di Korea Selatan.

"Saya berharap untuk beraksi di luar negara. Sasaran saya adalah di antara Korea Selatan ataupun Thailand. Saya tidak kisah sama ada pasukan itu kuat ataupun lemah, perkara paling penting adalah pengalaman saya di sana," kata Zafuan.

Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini kini hanya menunggu jawapan daripada Bangkok United dan Lampang FC sama ada terpilih atau sebaliknya selepas menghadiri sesi percubaan sebelum ini.

Untuk rekod, pemain kelahiran Kuala Perlis berusia 18 tahun ini turut pernah menjadi pemain percubaan skuad Liga Super, Kedah.

"Kami telah menjalani latihan selama dua minggu. Kami berharap dapat mencipta sesuatu dalam perlawanan akan datang," katanya.

Zafuan, yang tampak memiliki potensi besar selepas turut menyerlah dalam Kejohanan AFF Bawah 18 di Myanmar bulan lalu, sempat berkongsi cerita mengenai masa depannya.

Skuad bawah 19 tahun negara kendalian Bojan Hodak akan berdepan Timor Leste terlebih dahulu sebelum Brunei, Indonesia dan pasukan yang pasti paling mencabar, Korea Selatan, pada 8 November.