Khidmat tongak import, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov, terus ditagih Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut timbalan presidennya, Hishamuddin Abdul Karim, dua pemain itu masih terikat kontrak bersama Terengganu FC (TFC) sehingga 2020 dan akan dikekalkan.

Nasib Thierry Chantha Bin serta Kipre Tchetche pula akan ditentukan barisan jurulatih yang akan diumumkan dalam Kongres Biasa PBSNT, Selasa ini.

Selain itu, Hishamuddin memberi bayangan TFC turut berminat mendapatkan penyerang PKNS FC, Kpah Sherman, sekiranya skuad Semut Merah itu turun ke Liga Perdana.

"Kami memberi mandat kepada ketua jurulatih sama ada mahu mengekalkan Chantha Bin dan Tchetche.

"Bergantung kepada harga (Sherman) kerana dia juga dipancing kelab lain dan kami lebih suka mengukur baju di badan sendiri," jelasnya.

Hishamuddin juga mengesahkan beberapa bekas pemain kelahiran negeri itu menyatakan minat menyarung jersi hitam putih dan akan diberikan peluang beraksi bersama TFC.

"Kami akan umumkan secara rasmi dalam Kongres Biasa PBSNT pada Selasa.

"Pihak pengurusan tidak mencampuri urusan pemilihan pemain dan kami serah sepenuhnya kepada barisan jurulatih untuk membentuk pasukan," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)