TFC II 2 UKM FC 0
(TFC II menang agregat 4-2)

Penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, muncul wira Terengganu FC (TFC) II selepas menyumbang dua gol bagi membantu pasukannya menjuarai Piala Cabaran dengan menewaskan UKM FC 2-0 dalam aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Beraksi selaku tuan rumah, TFC II, yang seri 2-2 dengan UKM FC dalam final pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu, terlebih dahulu mencemaskan UKM FC pada minit ketiga menerusi gerakan solo Bruno Suzuki memasuki kotak penalti yang berjaya dihalang pertahanan lawan.

UKM FC kemudian mengatur dua serangan daripada Mohd Irwan Syazmin Wahab serta Nam Se-in pada minit kelima dan kesembilan, namun dikecewakan ketumpulan penyudah.

Pintu gol TFC II terselamat lagi pada minit ke-14 apabila penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusof, menangkap kemas sepakan leret Se-in yang berpunca daripada satu serangan balas.

Memasuki minit ke-22, kedudukan berubah selepas Akanni Sunday menanduk kemas hantaran ke belakang Andrew-Jean Baptiste untuk menceriakan hampir 4,000 penyokong tuan rumah.

Jaringan itu gagal menyemarakkan semangat TFC II, dengan jentera serangan UKM FC diketuai Michael Ijezie pula tidak berupaya menyamakan kedudukan sehingga tamat separuh masa.

Selepas rehat, TFC II memperkemaskan rentak yang menyaksikan Akanni Sunday meledak jaringan kedua peribadi dan pasukannya pada minit ke-53 hasil gerakan menariknya bersama Jean-Baptiste.

Jean-Baptiste turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring, malangnya percubaan dari dalam kotak penalti pada minit ke-63 menggegar palang sebelum percubaan Suzuki (m-69) diselamatkan penjaga gol UKM FC.

Tiada tambahan jaringan selepas itu dengan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat dan selaku juara, TFC II membawa pulang trofi berserta wang tunai RM250,000 manakala UKM FC memenangi RM75,000 selaku naib juara.