Kapten Bayern Munich, Philipp Lahm, berkata kekalahan 1-0 kepada Borussia Dortmund membuktikan saingan dalam Bundesliga adalah sengit berbanding apa yang diperkatakan oleh pemerhati bola sepak.

Jaringan awal Pierre-Emerick Aubameyang dalam separuh masa pertama memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Thomas Tuchel serta memberikan kekalahan pertama buat penyandang juara itu.

Keputusan ini menyaksikan The Bavarians mengumpul 24 mata daripada 11 perlawanan, permulaan terburuk mereka sejak di bawah kendalian Louis Van Gaal pada musim 2010-11.

"Permainan kami tidak begitu teruk," kata Lahm. "Kami hanya tidak bernasib baik kerana bolos pada awal permainan dan gagal menyempurnakan peluang.

"Saya telah memberitahu banyak kali tetapi tiada sesiapa yang mahu mempercayai saya, ia tidak begitu mudah untuk berada di takhta liga pada setiap masa. Ia merupakan satu tugas yang sukar."

Pendatang baru Bundesliga, RB Leipzig, kini berada di tangga teratas dengan jurang tiga mata selepas menewaskan Bayer Leverkusen.

"Mereka telah bermain dengan baik. Mereka menang di Leverkusen, ia merupakan satu perlawanan yang amat sukar.

"Kami harus menunggu dan melihat berapa lama momentum akan memihak kepada mereka."

Penjaga gol, Manuel Neuer, berasakan Bayern kehilangan mata penting ketika bertemu Cologne, Eintracht Frankfurt dan Hoffenheim, termasuk perlawanan bertemu Dortmund.

"Sebelum perlawanan ini, saya tidak melihat carta liga tetapi kami lakukannya sekarang," ujar Neuer. "Ia amat menjengkelkan melihat keputusan kami. Kami telah banyak kehilangan mata."