SWITZERLAND 5 BELGIUM 2

Thibaut Courtois mendakwa sikap terlalu yakin menyaksikan Belgium tewas 5-2 kepada Switzerland, sekali gus terlepas slot ke separuh akhir Liga Negara-Negara.


Skuad kendalian Roberto Martinez itu mendahului permainan 2-0 selepas Thorgan Hazard menjaringkan dua gol di Lucerne.

Switzerland, yang memerlukan kemenangan menerusi kelebihan dua jaringan untuk mara, bangkit mendahului perlawanan 3-2 selepas tamat separuh masa pertama, sebelum Nico Elvedi dan Haris Seferovic melengkapkan hatrik dalam separuh masa kedua.

Courtois tidak terdaya untuk menghalang pasukannya daripada diratah Switzerland dan sikap sambil lewa merupakan punca The Red Devils tewas dalam perlawanan itu.

"Kami bermula baik, mendahului permainan dengan kelebihan dua gol. Kemudian kami mula gagal mengekalkan kawalan bola dan memberikan sepakan penalti kepada lawan," kata Courtois.

"Kemudian Switzerland seperti mendapat harapan. Saya berasakan selepas mendahului 2-0, kami tidak lagi mengekalkan persembahan yang sama dan ia telah menghukum Belgium.

"Ini merupakan kejohanan yang kompetitif, gagal mara ke separuh akhir merupakan satu pengajaran buat kami."

Pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Meunier, bersetuju dengan penilaian rakan sepasukannya itu, dengan menganggap kekalahan itu merupakan persembahan terburuk Belgium sejak lima tahun lalu.

"Kekalahan ini lebih daripada satu kekecewaan," katanya. "Seharusnya kami mengawal permainan selepas mendahului 2-0. Ia bagaikan perlawanan sempurna buat kami.

"Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol. Tetapi mereka bangkit dengan tiga gol. Sesuatu yang sukar untuk dipercayai."