Terlalu awal bandingkan Haaland dengan Lewandowski, kata Flick

Oleh Nafis Abdullah 26 Mei 2020 80
Terlalu awal bandingkan Haaland dengan Lewandowski, kata Flick
Erling Haaland masih belum boleh dibandingkan dengan Robert Lewandowski, kata pengurus Bayern Munich, Hansi Flick, walaupun dia percaya Borussia Dortmund memiliki kelas tersendiri.

Haaland mempamerkan aksi memukau sejak tiba di Dortmund pada Januari lalu, meneruskan prestasi hebat dalam babak pertama musim ini di Salzburg.

Penyerang berusia 19 tahun itu telah meledakkan 10 gol dalam 10 penampilan Bundesliga sehingga membolehkan Dortmund mencabar kejuaraan liga.

Pasukan kendalian Lucien Favre itu hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Bayern, menjelang aksi tertutup Klassiker di Signal Iduna Park, awal pagi esok.

Prestasi hebat Haaland menyebabkan dia dibandingkan dengan penggempur Bayern, Lewandowski, yang telah menjaringkan gol ke-41 musim ini dalam kemenangan 5-2 Bayern ke atas Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu, tetapi Flick yakin perbandingan itu masih terlalu awal.

"Ia musim pertama Haaland, jadi terlalu awal untuk membandingkannya," katanya.

"Lewandowski sentiasa berada di tahap terbaik sejak beberapa tahun lalu tetapi Haaland memiliki bakat yang bagus.

"Dia seorang penyerang muda tetapi memiliki keinginan tinggi dengan jaringan. Dia hanya mahu menamatkannya.

"Corak permainannya hebat. Dia sangat memiliki fizikal yang ampuh dan tangkas. Kami tidak mahu terlepas kelibatnya dalam aksi awal pagi esok."

Flick -- yang mengakui prestasi cemerlang Dortmund -- turut sedar dengan kepentingan aksi seterusnya yang diadakan secara tertutup akibat krisis coronavirus.

"Ia satu perlawanan istimewa," tambahnya.

"Persekitaran akan menjadi inspirasi buat semua pasukan dan terserah bagaimana anda mahu menyesuaikan diri. Anda perlu menerima situasi ketika ini dan tidak mencari alasan. Kami perlu mengikut perancangan permainan."

Thomas Muller dilihat kembali menemui rentak permainan sejak Bayern menerima sentuhan Flick termasuk mencipta bantuan gol ke-17 dalam saingan Bundesliga musim ini sebelum meledakkan jaringan ketujuh peribadi.

"Muller adalah pemain yang boleh mengetuai pasukan dengan baik dan memberikan arahan," ujar pengurus itu.

"Dia bermain dengan cemerlang ketika berdepan Frankfurt dan sentiasa boleh diharapkan. Dia mempunyai pengalaman dan sentiasa mahu menang dalam setiap perlawanan.

"Dia memegang semangat 'Mia san Mia' dengan baik dan sedar perlu beraksi di tahap terbaik untuk meraih kemenangan."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen