Cristiano Ronaldo memberi penghormatan kepada Massimiliano Allegri dan berterima kasih di atas musim yang "luar biasa" selepas ketua jurulatih itu mengumumkan bakal meninggalkan Juventus.

Masa depan Allegri menjadi tanda tanya sejak Juve tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Ajax bulan lalu selepas The Old Lady merupakan antara pilihan untuk bergelar juara selepas menandatangani Ronaldo.

Bagaimanapun, Juve telah membuat pengumuman semalam bahawa Allegri tidak akan lagi bersama pasukan musim depan walaupun telah memenangi Serie A dan masih berbaki setahun dalam kontraknya.

Allegri gagal menahan air mata ketika dia dan presiden kelab, Andrea Agnelli, membuat pengumuman kepada media.

Agnelli memberikan penghargaan di atas usaha Allegri bersama kelab dan pemenang Ballon d'Or lima kali, Ronaldo, juga melahirkan rasa terima kasih di atas bimbingannya musim ini.

Ronaldo berkata melalui laman Instagram, "Terima kasih jurulatih, kami hanya bekerjasama selama semusim tetapi ia amat menakjubkan kerana anda adalah seorang pengurus yang terbaik."

Aksi terakhir Allegri mengendalikan Juve menyaksikan mereka akan berdepan Atalanta dan Sampdoria.