Selepas tersingkir dalam separuh akhir musim lalu, Terengganu meletakkan sasaran untuk memperbaiki pencapaian terbaik itu dan mara ke final Piala Emas Raja-Raja 2016, yang akan membuka tirainya esok.

Menurut ketua jurulatih, Subri Sulong, tempoh persediaan yang singkat tidak menggugat keazaman pasukan itu untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-76 itu.

“Meskipun hanya mula berkumpul dan menjalani latihan sejak dua minggu lalu, persiapan kami tetap berjalan dengan baik.

“Seramai 20 pemain dipanggil untuk kejohanan kali ini, termasuk beberapa tonggak skuad Piala Presiden, Hanelang FC dan tiga pemain negeri ini, yang beraksi bersama Shahzan Muda.

“Aspek kecergasan lebih ditekankan pada peringkat awal latihan dan keserasian pemain-pemain mula terserlah melalui lima perlawanan persahabatan yang diadakan setakat ini.

“Kekuatan pasukan ini agak seimbang di semua posisi kerana diperkuatkan dengan pemain-pemain yang bersama skuad senior Terengganu tetapi itu tidak memberi kelebihan atau tekanan kepada kami.

“Kehadiran pemain skuad senior, Dhiyaulrahman Hasry, serta penyerang utama skuad Piala Presiden, Mohd Azrean Abdul Aziz dan Mohd Haidhir Suhaini, yang akan mengetuai bahagian serangan dijangka mampu memberikan sengat kepada pasukan.

“Kedah dan Kuala Lumpur adalah pasukan yang mampu mencabar kami, namun saya tetap percaya dengan kebolehan pemain-pemain dalam pasukan ini.

“Pihak pengurusan meletakkan sasaran untuk mara ke final dan Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan lebih cemerlang berbanding tahun-tahun sebelum ini,” tambah Subri lagi.

Terengganu akan memulakan kempen dalam Kumpulan C menentang tuan rumah kumpulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Stadium Wisma Pertahanan (MINDEF) pada Jumaat manakala KL bertemu Kedah di Kem Batu Kantonmen.