Terengganu City (TCFC) bakal tampil dengan corak berbeza dengan misi mencari kemenangan dalam aksi pembukaan Piala FAM bertemu PJ Rangers di Kuala Terengganu, malam esok.

Ketua jurulatih TCFC, Mohd Noor Derus, menjelaskan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan untuk memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan.

Justeru, kesebelasan utama yang akan diturunkan digesa memperbaiki kelemahan selain segera mendapatkan rentak, terutama di awal permainan.

“Selepas mempertaruhkan formasi 5-4-1 dalam aksi Piala FA yang lalu, saya akan membuat perubahan dengan taktikal lebih menyerang.

“Pada masa yang sama, benteng pertahanan juga perlu diperkemaskan dan saya berharap rancangan kami menjadi,” katanya.

Mengakui tetap menghormati kekuatan pasukan lawan, bekas tonggak pertahanan Terengganu itu menyifatkan tiga mata sangat penting untuk moral TCFC yang dibarisi pemain-pemain muda.

“Permulaan baik sudah tentu akan menyuntik semangat kami.

“PJ Rangers sebuah pasukan yang baik dengan pemain-pemain yang berkualiti. Namun, itu bukan alasan buat kami tidak memberikan yang terbaik,” tambahnya.