Penjaga gawang Barcelona, ​​Marc-Andre ter Stegen, menegaskan bahawa dia "sangat gembira" bersama jaguh LaLiga itu meskipun rundingan kontrak barunya terbantut.

Perjanjian pemain antarabangsa Jerman itu akan berakhir pada musim 2021-22 dan dia telah dikaitkan dengan gergasi Bundesliga, Bayern Munich, susulan keraguan mengenai masa depan Manuel Neuer di Bavaria.

Walaupun timbul tanda tanya mengenai masa depannya sendiri, Ter Stegen mengatakan sekarang bukanlah waktunya untuk membincangkan kontrak baru berikutan penularan wabak novel koronavirus (Covid-19).

A new week begins with the same objectives: staying home and staying active. Let’s go! ?? @freeletics

A post shared by Marc ter Stegen (@mterstegen1) on



"Kami sudah melakukan langkah pertama," katanya dalam Instagram Live dengan bekas kelab, Borussia Monchengladbach.

"Tetapi seperti yang saya katakan, kami telah menangguhkannya. Terdapat banyak perkara lain yang lebih penting (ketika ini).

"Saya sangat gembira di sini dan keadaan sukannya baik, pasukan ini beraksi dengan baik. Apa lagi yang boleh saya minta?"

Ter Stegen bergabung dengan Barca daripada kelab Bundesliga, Monchengladbach, pada 2014.

Sejak tiba di Camp Nou, pemain berusia 28 tahun itu telah memenangi empat gelaran LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) selain trofi lain.

Barca ketinggalan dua mata dengan seteru ketat, Real Madrid, selepas 27 perlawanan sebelum musim ini ditangguhkan sejak Mac lalu berikutan wabak Covid-19.