Marc-Andre Ter Stegen mendedahkan rundingan kontrak barunya di Barcelona tersekat sebaik COVID-19 melanda, namun dia memberi jaminan kepada penyokong bahawa dia tidak akan angkat kaki.

Penjaga gol Jerman itu menyertai Barca daripada Borussia Monchengladbach pada 2014 dan terpaksa menjadi pengganti kepada Claudio Bravo dalam LaLiga sepanjang dua tahun, tetapi potensinya tidak pernah diragui.

Sejak muncul sebagai pilihan pertama bagi kempen 2016-17, Ter Stegen mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama, secara tidak langsung membuktikan bahawa dia seorang pemain yang boleh dipercayai dan tekal.

Kali terakhir dia memperbaharui kontrak adalah pada Mei 2017 yang menyaksikannya akan bertahan sehingga 2022, dan dengan kontraknya masih berbaki dua tahun, ia mengundang keresahan peminat bahawa tonggak berusia 28 tahun itu berpotensi untuk berhijrah.

Walaupun Ter Stegen mengakui perbincangan kontrak baru tertangguh, dia menegaskan bahawa tindakan itu sesuai dengan keadaan semasa tatkala dunia dilanda krisis COVID-19.

Bercakap di podcast Kicker Meets DAZN, dia berkata: "Tidak mungkin saya akan berpindah musim panas ini.



"Sudah ada pertemuan pertama di antara ejen saya dan kelab (mengenai usaha melanjutkan kontrak), kemudian wabak koronavirus melanda jadi ia bukan masanya untuk membincangkan perjanjian baru.

"Ramai orang gusar mengenai kehidupan mereka, jadi kami memutuskan untuk menundanya. Saya berasa selesa di Barcelona, begitu juga dengan keluarga saya."

LaLiga akan beroperasi semula di gelanggang pintu tertutup minggu depan yang menyaksikan Barca berkelebihan dua mata di puncak untuk mendahului Real Madrid sambil kedua-dua pasukan mempunyai baki 11 perlawanan lagi.

Walaupun saingan itu terjejas selama tiga bulan, Ter Stegen tetap yakin Barca berada dalam keadaan fizikal yang sangat tinggi dan sedar Madrid tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan mereka meraih gelaran juara.

"Secara fizikalnya, kami jarang berada di tahap yang tinggi," katanya.

"Secara mental pula, kami akan lebih fokus kepada baki perlawanan. Walaupun berada di kedudukan yang baik, Real Madrid tidak akan memberikan kami laluan mudah.

"Bola sepak dengan norma baru tentu saja akan berbeza, kami menyedarinya. Perlawanan tanpa penonton bukanlah perkara yang paling menarik tetapi bola akan bergolek dan itulah yang menggembirakan kami."