Marc-Andre ter Stegen berkata adalah tidak wajar untuk Manuel Neuer mengkritiknya hanya disebabkan keinginannya untuk beraksi lebih banyak bersama skuad kebangsaan Jerman.

Penjaga gol Barcelona itu menyifatkan ketiadaannya dalam skuad kebangsaan itu ketika menentang Belanda dan Ireland Utara dalam waktu rehat antarabangsa lalu sebagai satu "tamparan besar".

Pemain berusia 27 tahun itu kerap menjadi pilihan kedua di belakang Neuer sepanjang karier antarabangsanya walaupun semakin mendapat tempat untuk mengisi posisi nombor 1 itu berbanding bintang Bayern Munich berkenaan.

Neuer mendakwa Ter Stegen tidak membantu dengan meluahkan kekecewaannya kepada umum dan menyarankan agar pemain Barca itu menunjukkan rasa hormat kepada Bernd Leno dan Kevin Trapp, yang turut merebut tempat dalam skuad kebangsaan Jerman.

Ter Stegen, yang kembali ke tanah airnya bagi pertemuan Liga Juara-Juara Eropah dengan Borussia Dortmund awal pagi esok, berasakan Neuer bersikap tidak adil tetapi tidak mahu memanjangkan isu itu.

Dalam sidang media sebelum perlawanan, dia berkata: "Saya mahu bercakap sedikit mengenai perkara ini. Anda tidak boleh katakan yang kami bersaing untuk posisi penjaga gol dan kemudian mengharapkan kesemua pemain berasa gembira dengan situasi itu jika kami tidak dapat bermain.

"Bola sepak bukan sahaja tentang kegembiraan tetapi juga kekecewaan.

"Manuel Neuer tidak perlu memberikan komen tentang perasaan peribadi saya dan menilainya, saya hanya meluahkan pandangan peribadi.

"Jika anda menilai beberapa tahun kebelakangan ini, anda akan menyedari bahawa saya sentiasa berkelakuan baik dan apa yang dikatakan Neuer dan mereka itu adalah tidak adil.

"Tindakannya itu tidak wajar tetapi saya tidak mahu bercakap lebih banyak lagi. Saya mahu menamatkan kontroversi ini," katanya.

Keutamaan Ter Stegen ketika ini adalah untuk membantu Barca memastikan gawang mereka tidak dibolosi selepas skuad Catalan itu bolos tujuh gol dalam empat perlawanan pertama LaLiga musim ini.

"Kami cuba mengelak daripada dibolosi tetapi ia belum terjadi. Ia tidak seperti yang kami harapkan.

"Kami perlu memperbaikinya. Terdapat kesilapan yang mampu kami perbaiki dengan mudah. Kami telah berbincang mengenainya," katanya lagi.