Selepas tersingkir ke Liga FAM pada musim ini, Sime Darby mahu memastikan tempat ke Liga Perdana musim depan dapat menjadi milik mereka menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Felcra FC di Stadium Universiti Malaya, 8 Oktober ini.

Ketua pasukan, Tengku Qayyum Ubaidillah, tidak mahu rakan sepasukan mensia-siakan kesempatan kali ini dalam menjulang kembali maruah pasukan.

Menurut bekas pemain Negeri Sembilan itu, rekod muncul selaku barisan pertahanan terbaik di pentas Liga FAM harus dijadikan sandaran selepas hanya dibolosi sebanyak tujuh kali pada musim ini.

“Setiap perlawanan, kami turun beraksi mengibaratkan aksi itu seperti final kerana kami mahu mara ke Liga Perdana. Jadi, buat masa sekarang, moral pasukan berada dalam keadaan terbaik,” kata Tengku Qayyum.

Sementara itu, pemain veteran, Juzaili Samion, lebih selesa apabila ramai pihak memilih Felcra sebagai pasukan pilihan selepas lawan turut diperkuatkan oleh ramai bekas pemain daripada Liga Super dan Liga Perdana berbanding Sime Darby.

“Harapan untuk ke Liga Perdana memang tinggi. Diharapkan seluruh pasukan dapat melaksanakan setiap perancangan yang dilakukan oleh jurulatih.

“Saya lebih selesa untuk tidak diletakkan sebagai pilihan tetapi kami tetap akan turun dengan aksi 100 peratus,” ujar Juzaili.