Tengku Hazman bangga dengan pemain biarpun kalah

Oleh Staff Writer 11 Oktober 2016 20
Tengku Hazman bangga dengan pemain biarpun kalah
Jurulatih skuad bawah 19 tahun Kelantan, Tengku Hazman Raja Hassan, tetap berbangga dengan kemampuan anak buahnya di sebalik kegagalan melayakkan diri ke final Piala Belia musim ini.

Pasukan itu tewas 3-1 secara agregat kepada juara bertahan, Selangor, dalam separuh akhir apabila tunduk 1-0 di Kota Bharu sebelum 2-1 dalam perlawanan kedua di Padang Setiausaha Kerajaan (SUK), Shah Alam, petang kelmarin.

“Tentulah kekalahan 1-0 di tempat sendiri (Kota Bharu) dalam separuh akhir pertama menjadi punca mengapa pemain muda ini tertekan untuk menjaringkan lebih banyak gol di sini (Shah Alam).

“Lebih menambahkan tekanan apabila kami melepaskan dua gol mudah kepada Selangor biarpun Kelantan banyak mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan dalam separuh masa pertama dan kedua,” katanya.

Tengku Hazman yang juga bekas pemain kebangsaan, bagaimanapun, tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain Kelantan kerana sasaran utama musim ini hanyalah layak ke suku akhir.

“Sasaran utama skuad belia musim ini adalah peringkat suku akhir sahaja. Namun, berbekalkan semangat perjuangan yang tinggi, mereka (pemain) beraksi dengan baik dan mencipta kejutan demi kejutan sehingga mampu mara ke separuh akhir.

“Lebih menarik lagi, hanya lima pemain daripada skuad musim lepas dan selebihnya Kelantan diwakili oleh ramai muka baharu yang kurang pengalaman di peringkat kebangsaan.

"Jadi, pengalaman yang diraih pada tahun ini menjadi ramuan terbaik untuk mereka menyinar dalam kejohanan musim hadapan,” katanya.

Dalam saingan sengit petang kelmarin, The Young Warriors dikejutkan dengan jaringan pemain tengah Merah Kuning, Ainol Iskandar Mahsun, seawal minit kelapan.

Kelantan mendapatkan gol penyamaan melalui penyerang sensasi bawah 22 tahun kebangsaan, Mohd Denial Ashraf Abdullah, pada minit ke-41, sekali gus merapatkan agregat 2-1.

Namun, sisa perjuangan skuad belia Kelantan musnah apabila pemain Selangor, Mohd Azrul Syafiq Norinukatapati, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 untuk membawa juara bertahan itu ke pentas final sekali lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen